kesabaran manusia

Saturday 6 August 2011
Apabila sahabat kita kehilangan dompet ketika menghadiri ceramah di masjid, kita pasti akan mengatakan, "Sabar ya awak, pasti ada hikmah di sebalik semua ini."
Apabila adik kita menerima keputusan peperiksaan yang agak kurang memuaskan, kita tidak pernah lupa untuk berpesan, "Sabar ya adik, cuba lagi untuk peperiksaan yang akan datang."
Apabila guru kita kehilangan suami yang tersayang dalam sebuah kemalangan, kita juga cuba berkata, "Sabar ya cikgu, moga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan solehin."

Mudah, cukup mudah untuk kita menyarankan kepada mereka yang ditimpa kesusahan untuk bersabar. Bagaimana dengan kita? Cukup sabarkah apabila menerima teguran? Cukup sabarkah untuk menerima sebuah kehilangan? Cukup sabarkah untuk menerima kegagalan? Cukup sabarkah untuk menerima kemarahan?
Lain orang lain ujiannya, lain orang, lain bahagiannya, hatta, jangan lupa bahawa kesenangan juga sebenarnya memerlukan kita untuk bersabar.
Surah AlBaqarah, ayat 286 :
"Allah tidak membebani seseorang sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat (pahala) dari (kebajikan) yang dikerjakannya dan dia mendapat (siksa) dari (kejahatan) yang diperbuatnya."
Betapa penyayangnya Allah apabila memberi sesuatu sesuai dengan keadaan kita sendiri. Bahkan semua itu bukan sia-sia tanpa ada hikmah di sebaliknya. Jadi, frasa everything happen for good reasons juga adalah sangat tepat.
"Achik pernah dengar tak orang kata 'sabar pun ada hadnya'?" Abah memulakan bicara sambil memandu kereta dengan tenang. Saya mengangguk-angguk tanda mengiakan.
"Abah tak setuju dengan kata-kata macam itu, nak tahu kenapa?" sambung Abah lagi.
"Nak, nak!" saya menjawab dengan penuh teruja.
Mari kita rujuk kembali kepada sirah Nabi Muhammad s.a.w. yang kita pelajari dalam Fiqh Sirah Nabawiyyah. Ujian yang ditimpakan ke atas Baginda sangat hebat.
Kehilangan ayah sebelum dilahirkan, kematian ibu ketika masih kecil, datuk pula pergi menghadap yang Maha Esa ketika baru mahu bermanja, bapa saudara dijemput pulang ketika sedang menghadapi tekanan, kemuncak yang paling tinggi seterusnya pula ialah ketika Khadijah Binti Khuwailid dipanggil pulang oleh yang Maha Besar. Konklusinya, semua insan yang Baginda kasihi diambil kembali oleh Allah.
Belum lagi dikira ujian ketika mahu menyebarkan risalah-Nya. Dibaling najis, dihujani batu, dipulau oleh kaum sendiri, cedera dalam peperangan, dan macam-macam lagi. Zaman Baginda bukannya ada Facebook, YM, Skype, internet mahupun telefon bimbit seperti kita sekarang untuk digunakan bagi memudahkan penyebaran da'wah.
Namun berkat kesabaran, ketabahan, kekuatan, dan kecekalan Baginda, Islam sampai kepada kita dan hari ini kita dapat mengenal Allah juga merasai indahnya Iman, alhamdulillah.
Mungkin ada sesetengah mengatakan bahawa  Baginda dapat menghadapi ujian-ujian tersebut kerana Baginda merupakan seorang Rasulullah.
Sedarlah, Baginda juga manusia biasa seperti kita, yang membezakan cuma Baginda ditugaskan membawa risalah Allah serta mempunyai keimanan yang benar-benar mantap. Tambahan pula, ujian yang Baginda hadapi sesuai dengan kemampuan Baginda sendiri. Ujian yang hebat untuk manusia yang hebat, bukankah itu sifirnya?
"Sebab itu sabar sebenarnya tiada had, sabar itu indah, hanya kita yang perlu bijak memilih untuk sabar atau tidak," Abah menghabiskan tazkirah ringkasnya hari ini dengan senyuman.
"Kalau macam tu, Abah tak boleh marah-marah kitorang lagi lah kan?" saya mengusik.
"Itu dah masuk tarbiyatul awlad pulak, tak sama situasi," kata Abah meneruskan bicara.
"Hehe, baiklah Abah."
Kita boleh mengatasi segala ujian yang Allah berikan dengan tenang jika kita punyai pergantungan yang tinggi kepada-Nya, insya-Allah. Ingatlah bahawa kita ini hanyalah manusia yang fitrahnya lemah. Jangan pernah lupa bahawa kita adalah hamba Allah s.w.t.
Jadi, kita layak diuji kerana kita hanyalah hamba-Nya!.
Tuhan, kenapa aku masih berada di sini? Bukankah aku dahulu selalu bersedekah di masjid-masjid? Bukankah aku dahulu sentiasa membantu sahabat-sahabatku yang kesusahan? Bukankah aku dahulu sentiasa memberi peringatan kepada sahabat-sahabatku? Kenapa aku masih ada di Neraka-Mu ini?
Tuhan, mana pergi amalan-amalan baik yang aku lakukan dahulu? Tidakkah aku telah menggunakan kudratku untuk jalan dakwah? Oh Tuhan. Dengarlah rintihan aku ini.
(Tiba-tiba)
Tangannya terangkat dan berkata, "Aku dahulu memasukkan duit ke dalam tabung kerana aku inginkan pujian sahabat-sahabatku terutamanya mereka yang berlainan jantina denganku."
Kakinya tiba-tiba bersuara,'aku berjalan pergi berdakwah semata-mata ingin menonjolkan diriku di hadapan orang lain bahawa aku ini seorang yang Alim dan Soleh. Aku ingin manusia melihat betapa aku ini hebat berdakwah dan kaya dengan ilmu agama.'
Mulutnya tiba-tiba menyanggah, 'ah, kau ni. Kononnya mulut kau ini kau gunakan untuk mengingatkan sahabat-sahabat kau, tetapi hakikatnya kau tidak mengamalkannya! Kau suruh orang jauhi zina tetapi kau dengan mudah ber'chit chat' dengan teman-temanmu yang berlainan jantina dan bercakap perkara-perkara yang tidak sepatutnya! Kau suruh orang bersedekah dan berbuat baik, tetapi diri kau? Pernah kau cerminkan diri kau? berapa banyak harta kau yang kau laburkan untuk Akhirat? dan berapa peratus nilai keihklasanmu di dalamnya?
Telinga yang hanya mendengar dari tadi turut tidak melepaskan peluang.'Hey hey, nanti dulu. Kau jangan lupa, telinga kau ni, kau gunakan untuk apa? Ingat tidak pada suatu ketika dahulu, kau menggunakannya untuk mendengar lembut suara si dia yang bukan muhrim mu? Apa kau sudah lupa ketika nafsu kau sudah menewaskan akal dan Iman mu, kau asyik dalam kecintaan kau pada dia yang tidak halal bagimu? Apa kau ingat semua ini bukan dosa? Mana perginya tazkirah yang kau beri dahulu kepada teman-temanmu? Apa yang kau ingatkan mereka? Sudah lupa? Kau mengatakan La Takrabu Zina. Punya kau bersemangat memberi ceramah mengenai bahaya pujuk rayu Syaitan, tetapi mengapa kau yang tertewas dengan pujuk rayu si Durjana tu?
Hati yang kehitam hitaman tiba-tiba mencelah, "itulah kau manusia. Sudah kerugian kau di sini bukan? Bukankah Guru-guru mu sentiasa berpesan, pastikan kau lakukan sesuatu dengan niat yang ikhlas. Bukankah kau sudah tahu benar segala amalan tanpa niat yang ikhlas umpama buih di lautan. Segala kebaikanmu itu habis hancur berkecai. Dahulu bila kau dianugerahkan dengan nikmat yang banyak, kau lupa diri.
Kau sombong! Keihklasanmu lenyap sekelip mata. Syukur mu kian menipis. Bongkak mu kian meninggi. Apa kau sudah lupa hakikatnya kau cuma manusia lemah ciptaan Si Maha Besar? Bukankah sifat sombong hanya milik mutlak Allah? Kau tahu bukan si durjana Iblis dihalau dari Syurga kerana kesombongannya? Si Firauan binasa kerana bongkaknya? Si namrud dihina kerana takburnya? Jadi kenapa kau tidak belajar dari pengajaran ini?
Betapa dirimu rugi hari ini wahai manusia. Andai didunia dahulu kau mengamalkan ilmumu, pasti kau bahagia sekarang. Tetapi, seperti kau tahu, There is no turn Back! Sekarang rasailah azab dari Allah ini bersama - sama dengan kami," kata si iblis dan kaumnya.
Tiba-tiba tersedarku dari mimpi. Astarfirullah. Saat itu, terbayang-bayang difikiranku akan Surah Yassin ayat 65 :
"Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa Yang mereka telah usahakan."
Ya Allah, lindungilah kami dari melakukan apa yang Kau larangi dan dekatkanlah kami dengan amalan-amalan yang Kau redhai.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...